Marilah kita bersama merenung alam sekeliling kita apa yang boleh kita ungkaikan untuk kita pelajari darinya kerana kita adalah sebahagian daripadanya.
Belajarlah dari MATAHARI:
Adil menebar cahaya dan memberikan kehangatan kepada semua, baik yang terawang-awang di angkasa mahupun yang bertebaran di atas bumi, kepada yang miskin mahupun yang kaya, yang mulia hatinya juga buat si kejam, kepada semua makhluk ciptaan Ilahi.
Belajarlah dari BUNGA:
Sentiasa tersenyum menyebarkan harumannya menghadiahkan kecantikan untuk mengubat hati yang gundah, juga menggembirakan setiap mata yang memandang.
Belajarlah dari LEBAH:
Sentiasa berganding bahu, bekerja dengan hati yang riang dan semangat membara.
Belajarlah dari POKOK:
Menghadiahkan buah yang manis dan segar sambil menundukkan dahannya.
Belajarlah dari BULAN:
Tenang memancarkan cahayanya yang kemilau dan indah buat menyuluh malam yang gelap.
Belajarlah dari SUNGAI:
Tabah bergerak menuju ke destinasi dengan meredah apa saja halangan hinggalah sampai ke muaranya. Airnya lembut dan tenang tapi tiada suatu pun mampu menghalang kemaraanya.
Belajarlah dari DAUN yang luruh:
Sabar ketika menghadapi kesukaran. Sentiasa tabah menunggu hari yang baik dan sesuai untuk tumbuh kembali.
Belajarlah dari HUJAN:
Kehadirannya dinanti-nantikan buat penyejuk alam yang hangat, membasahi kekeringan, menghijaukan tanah yang gersang dan memberi nyawa kepada tumbuhan.
Lihatlah ke dalam diri kita,terokailah dan pelajarilah sifat-sifat alam yang dicipta Sang Penguasa Agung. Kita juga sebahagian daripadanya.
No comments:
Post a Comment