Thursday, November 25, 2010

TERIMALAH UJIAN DARI ALLAH DENGAN BERLAPANG DADA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamulaikum, sahabat-sahabat semua apa kabar, aku harap sahabat semua sihat dan ceria selalu
Ujian dan laknat Allah
Sahabat dan kawan-kawan semua, “Kalau takut dengan Ujian Allah,jangan sesekali mengatakan kita telah beriman”
Apakah ujian itu menupakan laknat Tuhan kepada hamba Nya? Apabila seseorang itu diuji.Sebagai contoh kita diajak untuk mengerjakan fardu umrah, sedangkan pada permulaannya kita berasa keberatan kerana memikirkan fardu asas lain seperti solat zakat hutang dsb harus dikemaskinikan. Namun pada saat akhir, kita mengerjakan jua demi mengharapkan rahmat dan keberkatan yang lebih meluas dalam memperbaiki diri kita. Dan malangnya sesampai di Mekah kita jatuh sakit, dan tak banyak ibadat dapat kita dilakukan selain terlantar atas katil di bilik. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang sungguh menghampakan diri kita malah setibanya kita ke tanah air, kita ditimpa lagi dengan ujian sakit-sakit lain dan akhirnya menyebabkan kita terpaksa menganggur dan hanya duduk di rumah. Masalah kita semakin merebak sehingga kita tertekan dan goyah dalam kepercayaan kepada Tuhan. Kita mula meninggalkan kesemua syariat yang dipelajari dan diamalkan. Namun, apabila ditanya situasi kita oleh seseorang, kita memberitahunya yang mana, kita tidak mahu dan menjangkakan semua itu berlaku dan masih menharapkan pertolongan dari Tuhan semoga kita dapat menjalani kehidupan normal.


Dalam sebuah hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

عجباً للمؤمن لا يقضي اللّه له قضاء إلا كان خيراً له، إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له
“Sungguh menakjubkanku apabila melihat orang beriman. Tidak ada suatu ketetapan yang Allah putuskan untuknya melainkan semuanya baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang menggembirakan, ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang memudaratkannya, ia bersabar, maka itu juga baik baginya” (Diriwayatkan dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Lihat hadis ini dalam; Tafsir Ibnu Kathir, surah Saba’, ayat 19).

Berdasarkan hadis ini kita wajib meyakini kasih sayang Allah kepada kita selagimana kita beriman kepadaNya. Wajib kita bersangka baik dengan Allah. Di dalam hadis Qudsi, Allah sendiri berfirman kepada hamba-hambaNya;

قال الله تعالى: أنا عند ظن عبدي بي، إن ظن خيرا فله، وإن ظن شرا فله
“Aku adalah bergantung kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Jika ia bersangka baik (kepadaKu), kebaikanlah (yang akan Aku berikan) untuknya. Namun jika ia bersangka jahat (kepadaKu), kejahatanlah (yang akan Aku berikan) untuknya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 6051).

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; di antara sebesar-besar dosa kepada Allah ialah bersangka buruk terhadapNya, kerana seorang yang bersangka buruk terhadap Allah ia bersangka dengan sangkaan yang bercanggah dengan kesempurnaan Allah yang maha qudus (suci dan bersih dari segala kekurangan) dan sangkaan itu bertentangan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Kerana itu, Allah memberi ancaman yang berat kepadanya sebagaimana yang Ia berikan kepada orang-orang munafik dan musyrik;

“Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik -lelaki dan perempuan- dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan- yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (al-Fath, ayat 6).
(Faidhul-Qadier, hadis no. 1933)

Sahabat dan kawan-kawan ,Kita dapat lihat dalam ayat di atas bahawa bersangka buruk terhadap Allah ialah sikap orang munafik dan musyrik. Kerana dengan sikap itulah mereka dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Berbalik kepada contoh di atas, bukan ujian yang menandakan laknat Allah ke atas kita, akan tetapi tatkala kita berputus asa dari rahmat Allah dan bersangka buruk kepadaNya itulah sebenarnya yang akan mengundang laknat Allah kepada kita. Nasihati aku pada sahabat dan kawan-kawan semua agar bersangka baik kepada Allah, bersabar menghadapi ujian Allah dan terus beribadah dan berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Yakinlah, akan tiba saatnya segala kesakitan, kepayahan dan kesusahannya akan hilang dan digantikan Allah dengan nikmat dan kesenangan yang paling manis sebagaimana janji Allah;

“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” (al-Insyirah, ayat 5-7).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 1933.

No comments: